
Kreatif dan kritis!! Dua elemen penting yang juga
merupakan antara tuntutan utama dalam misi anda untuk memajukan perniagaan.
Dalam erti kata lain, anda perlu berfikir dan berusaha dengan lebih keras bagi
menjadikan perniagaan anda sesuatu yang lain daripada yang lain demi menarik
minat lebih ramai pelanggan. Perniagaan yang mempunyai kreativiti tersendiri
kebiasaannya akan lebih cepat dikenali oleh para pengguna tambahan pula
sekiranya produk atau servis yang disediakan menepati kehendak pengguna. Akan
tetapi, faktor kreativiti tersebut mestilah seiring dengan strategi perniagaan
anda agar faktor itu benar-benar dapat memberikan impak kepada perniagaan yang
diusahakan. Contoh yang mudah, pada hari ini kita boleh melihat betapa ramai
para peniaga di pasar-pasar malam yang menjual air tebu. Mungkin di satu
kawasan pasar malam yang sama terdapat dua atau tiga gerai yang menjual air
tebu. Maka, persaingan menjadi lebih sengit. Oleh itu, penjual-penjual air tebu
tersebut sewajarnya berfikir dengan lebih mendalam tentang cara yang boleh
digunakan untuk menarik lebih ramai pelanggan ke gerai masing-masing.
Bagaimanakah caranya? Terpulang kepada masing-masing untuk memikirkannya.
Banyak aspek-aspek kreativiti yang boleh digunakan dalam perniagaan tanpa
mengambil kira jenis perniagaan anda juga sama ada perniagaan anda kecil ataupun
besar. Jika kena dengan caranya, kreativiti tersebut mampu menaikkan jenama
perusahaan anda!!
Melihat Kelemahan dan Kekurangan Sebagai
Satu Peluang Keemasan!!
Setiap perniagaan kebiasaannya mempunyai kelemahan
atau kekurangan yang tersendiri. Kekurangan tersebut tidak seharusnya dipandang
sebagai satu kelemahan oleh para peniaga. Jadi, bagaimana caranya untuk melihat
kelompangan yang ada dalam sesebuah perniagaan sebagai suatu kelebihan? Mudah
sahaja bak kata seorang tokoh perniagaan internet yang terkemuka iaitu Irfan
Khairi menyatakan bahawa usahawan atau mana-mana para peniaga mestilah sentiasa
berfikir di luar kotak pemikiran. Tujuannya adalah untuk memastikan adanya
percambahan idea dalam kalangan para peniaga mahupun usahawan-usahawan bagi menguruskan
sesebuah perniagaan sekaligus dapat menjadikan perniagaan tersebut lebih
menarik. Untuk itu, bagi para peniaga yang benar-benar berfikiran kreatif dan
kritis, mereka akan cenderung untuk melihat segala kekurangan atau kelemahan
dalam perniagaan sebagai satu peluang keemasan untuk mereka meningkatkan mutu
serta kualiti perniagaan.
Contoh yang sangat mudah, pernahkah anda mendengar
tentang Kentucky Fried Chicken atau lebih popular sebagai KFC? Agak pelik
sekiranya anda mengatakan tidak!! KFC adalah antara restoran makanan segera
yang mempunyai elemen-elemen kreativiti dalam kelas tersendiri. Menyedari
bahawa hidangan utama mereka adalah ayam goreng, pihak KFC mengambil inisiatif
dengan memperkenalkan pelbagai menu dari semasa ke semasa dan setiap menu tersebut
mempunyai daya tarikan yang kuat terhadap pembeli. Ini kerana, pihak KFC
sendiri mungkin dapat merasakan bahawa masyarakat akan berasa bosan dengan menu
yang sama tanpa sebarang perubahan. Bagi mengelakkan kelemahan tersebut
berlaku, strategi berkesan telah diatur dengan baik oleh pihak KFC. KFC Tom
Yum, ‘Famous Bowl’, ‘KFC Egg Tart’, ‘Toasted Pocketful’, ‘Krushers’, dan banyak
lagi menu-menu baru yang telah diperkenalkan oleh KFC. Konsep perniagaannya
tidak pernah berubah iaitu menyediakan makanan segera kepada masyarakat awam.
Akan tetapi, faktor kreativiti pihak pengurusan KFC Malaysia sememangnya wajar
dijadikan contoh oleh para peniaga dan usahawan yang lain dengan mereka
sentiasa berfikiran kehadapan untuk menyediakan pelbagai resepi-resepi terkini
bagi masyarakat berbilang kaum di negara kita.
Selain itu, sebagai seorang usahawan atau peniaga,
keberanian untuk mengambil risiko sangat penting. Tetapi janganlah kita membuta
tuli mengambil sesuatu risiko tanpa mengkaji faktor dan kesannya terlebih
dahulu. Dalam isu melihat kekurangan sebagai satu peluang keemasan, keberanian
memainkan peranan yang sangat besar. Kadang-kadang anda mungkin sudah berjaya
menemui kekurangan yang ada dan sudah memikirkan cara untuk mengatasinya,
tetapi dengan kemampuan yang ada adakah anda begitu berani untuk
melaksanakannya? Pastikan langkah penyelesaian yang ingin anda ambil telah anda
kaji dengan sedalam-dalamnya. Hidup dalam dunia perniagaan ibarat untung sabut
timbul, untung batu tenggelam. Ada kesan dan risiko yang menanti. Seandainya
anda benar-benar yakin dan berusaha dengan segigih-gigihnya, InsyaALLAH anda
akan berjaya.
Pelik Tetapi Menarik
Tidakkah anda teringin untuk mempunyai suatu
perusahaan yang pelik tetapi menarik? Biar pelik asal menarik jangan pelik dan
memang pelik!! Objektifnya tetap sama, untuk menarik seramai mungkin pelanggan
atau pengguna terhadap servis yang anda sediakan. Tidak kiralah perniagaan apa
sekalipun, semuanya boleh menjadi lebih menarik sekiranya anda ada cara untuk
melakukannya. Untuk mendapatkan sesuatu idea yang pelik tetapi menarik, anda
sebagai seorang usahawan perlu mencabar pemikiran anda bagi mengumpulkan
idea-idea yang terbaik dan sesuai dengan perniagaan yang anda usahakan. Tidak
dinafikan, kadang-kadang apabila kita mencuba sesuatu yang baru boleh jadi kita
mendapat kritikan dan boleh jadi juga kita mendapat sokongan. Oleh itu, jika
anda benar-benar yakin dengan apa yang anda ingin lakukan, ketepikan segala
kritikan dan anggaplah kritikan-kritikan tersebut sebagai satu inspirasi untuk
anda terus memajukan perniagaan anda.
Kebiasaannya, pada bulan Ramadhan, begitu ramai
para peniaga yang mengambil peluang untuk berniaga di bazar-bazar Ramadhan.
Pelbagai aneka juadah dijual dan para peniaga berlumba-lumba sesama sendiri
untuk menghabiskan jualan produk makanan dan minuman masing-masing. Persaingan
juga menjadi semakin sengit. Disinilah faktor pelik tetapi menarik boleh diguna
pakai untuk memikat para pelanggan. Contohnya, gerai yang menjual minuman.
Terdapat gerai yang menjual sehingga dua puluh lebih jenis minuman. Air
tembikai laici, bandung cincau, epal susu, barli susu, koktail, katira, cendol
dan bermacam-macam lagi jenis minuman yang dijual. Sudah tentu, gerai minuman
tersebut akan menjadi tumpuan para pembeli kerana keunikannya selain terdapat
banyak pilihan minuman. Inilah yang dikatakan pelik tetapi menarik!!
Dalam membincangkan isu pelik tetapi menarik, satu
kekuatan yang perlu anda pupuk dalam diri anda adalah tahan kepada segala
kritikan. Mungkin idea yang ingin anda laksanakan akan dianggap idea gila oleh
sesetengah pihak, tetapi belum cuba belum tahu. Lakukan dan buktikan kepada
semua bahawa idea anda itu boleh membuahkan hasil yang mengagumkan. Jangan
sesekali jatuh kerana kritikan dan jangan sesekali megah kerana pujian. Dunia
perniagaan tidak pernah menjanjikan sebarang kejayaan atau kegagalan
berpanjangan, bergantung kepada sejauh mana usaha dan pengorbanan yang anda
lakukan. Teruskan usaha anda dan beringatlah bahawa kesemua rezeki itu hanya
datang daripada ALLAH SWT.
Sentiasa Berfikir Ke Hadapan
Dalam mana-mana ceramah motivasi atau seminar
keusahawanan, sentiasa berfikiran ke hadapan merupakan antara aspek yang sering
ditekankan oleh para penceramah. Bukan tidak boleh memandang ke belakang,
tetapi jadikanlah segala pengalaman lampau sebagai satu pengajaran dan semangat
untuk kita terus maju. Berbagai-bagai risiko yang ada dalam perniagaan. Untung
dan rugi juga sudah menjadi mainan bagi para peniaga. Sebagai langkah
berjaga-jaga, setiap para usahawan ataupun para peniaga kecil mahupun besar
perlulah sentiasa berfikiran kehadapan. Anda perlu untuk memikirkan tentang
kesan-kesan yang mungkin akan timbul, risiko yang bakal dihadapi, serta jalan
penyelesaian sekiranya berlaku sebarang masalah yang dijangka atau tidak dijangka.
Jangan terlalu gopoh untuk berangan-angan dalam perniagaan. Para peniaga atau
usahawan yang sentiasa berfikir ke hadapan sememangnya mempunyai banyak idea
dan perancangan yang hebat. Inilah antara contoh kreativiti dalam perniagaan.
Dengan berbekalkan idea-idea yang hebat, mereka begitu kreatif menjalankan
perniagaan sekaligus sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang
kemungkinan. Bolehkah anda melakukannya?
Seperkara lagi, usahawan yang berfikiran ke hadapan
tidak akan menghadkan fikiran mereka untuk mencari satu sahaja jalan
penyelesaian bagi masalah yang dihadapi. Fikirkanlah lebih daripada satu jalan
penyelesaian agar anda mempunyai banyak pilihan idea untuk menamatkan segala
permasalahan yang membelenggu perniagaan anda. Apabila anda sudah mempunyai
beberapa pilihan penyelesaian, pilihlah jalan yang terbaik yang mampu untuk
anda lakukan.
Sekiranya anda seorang peniaga kuih-muih di pasar
malam dan anda sering mendapati kuih-muih anda tidak dapat dijual habis maka
apa yang anda akan lakukan? Sama ada anda membuang lebihan kuih-muih tersebut
atau mengurangkan kuantiti jualan untuk masa akan datang atau anda akan
mengurangkan harganya atau sebarang cara yang lain? Hakikatnya terpulanglah
kepada anda tetapi pastikan keputusan yang diambil boleh mendatangkan faedah
serta keuntungan kepada perniagaan yang diusahakan.
Promosi & Pengiklanan Perniagaan Yang
Menarik
Strategi utama untuk melariskan perniagaan adalah
melalui promosi dan pengiklanan. Pada hari ini, kita dapat lihat betapa banyak
papan-papan iklan, banting, poster, kertas-kertas iklan dan bermacam lagi cara
yang digunakan oleh para peniaga untuk menghebahkan perniagaan masing-masing.
Tidak dinafikan, promosi dan pengiklanan sememangnya salah satu cara berkesan
untuk menarik para pelanggan. Akan tetapi, penghasilan iklan yang lebih kreatif
serta menarik sudah tentu mampu memberikan impak yang lebih besar berbanding
iklan-iklan biasa yang lain. Cumanya, apabila anda telah menghasilkan suatu
iklan yang kreatif dan luar biasa, anda juga perlu memastikan kualiti produk
atau perkhidmatan yang anda sediakan setara seperti mana yang telah anda
iklankan. Jangan sesekali anda cuba untuk menipu dalam pengiklanan kerana boleh
membawa kesan buruk serta menggugat keyakinan para pelanggan terhadap perniagaan
anda.
Dalam era IT dan globalisasi ini, bermacam kaedah
yang boleh digunakan bagi tujuan pengiklanan. ‘Facebook’, ‘Twitter’, ‘Email’,
laman sesawang pengiklanan seperti ‘mudah.my’, ‘e-bay’ dan banyak lagi laman
pengiklanan di internet yang boleh anda gunakan untuk mempromosikan bisnes yang
anda jalankan bukan hanya di dalam negara malah di seantero dunia. Jika anda
benar-benar kreatif dalam mengiklankan perniagaan anda, maka tidak mustahil
perniagaan anda mampu berkembang maju dalam sekelip mata.
Zaman sekarang juga telah memperlihatkan begitu
ramai individu yang gemar menjalankan bisnes hanya melalui internet sahaja.
Misalnya, seseorang individu itu mampu untuk menjual pakaian hanya daripada
rumah dan segala bentuk pengiklanan dan promosi dilakukan melalui internet.
Penghantaran barangan pula dilakukan melalui pos atau kurier. Apa yang
menariknya, keuntungan yang diraih mampu mencecah empat angka!! Ini tidak
mustahil sekiranya anda bijak mengiklankan perniagaan anda.
Kesimpulannya, kreativiti dalam perniagaan
memainkan peranan yang sangat penting terhadap perniagaan itu sendiri. Banyak
lagi cara dan kaedah untuk menjadikan sesuatu perniagaan lebih kreatif dan
menarik. Setiap aspek dalam perniagaan perlu diberi penekanan bermula daripada
aspek promosi sehingga ke jualan agar perniagaan tersebut benar-benar
membuahkan keuntungan. Pakar perniagaan internet, Irfan Khairi dalam tip
perniagaannya ada menyatakan bahawa seseorang ahli perniagaan yang ingin menjana
idea yang kreatif perlulah sentiasa bergembira dan berseronok kerana idea yang
hebat seringkali datang apabila kita berada dalam keadaan gembira dan seronok.
Semoga semua para usahawan dan para peniaga yang membaca artikel ini dapat
mengambil input-input yang berguna dan mengaplikasikannya dalam perniagaan
masing-masing. Ingatlah, rezeki itu datang daripada ALLAH SWT dan kita perlu
berusaha untuk mendapatkannya.