Air Asia ditubuhkan pada tahun 1993 dan
mula beroperasi pada tahun 1996. Diasaskan pada awalnya oleh syarikat kepunyaan
kerajaan iaitu DRB-HICOM. Pada tahun 2001, syarikat yang dibebani dengan hutang
yang amat banyak telah diambil alih oleh Tony Fernandes melalui syarikatnya Tune
Air Sdn Bhd. Beliau merupakan bekas eksekutif syarikat Tune Warner.
Tune Air Sdn Bhd adalah nama yang diguna pakai selepas Tony pengambil
alihan pada harga token RM1.00. Sejak diambil alih, Air Asia telah
berjaya merekod dan meraih pelbagai anugerah serta bersaing sengit dengan
syarikat-syarikat penerbangan yang lain termasuk MAS Berhad. Hanya dalam masa
satu tahun sahaja Tony Fernandes telah berjaya menyelesaikan masalah beban
hutang syarikat. Beliau telah berjaya membaiki prestasi Air Asia dan
merekodkan keuntungan.
Hub pertama yang dilancarkan oleh Air Asia
ialah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Di hub pertama, Air
Asia memperkenal banyak laluan penerbangan yang baru dengan tawaran harga
yang amat murah. Hub kedua pula mula beroperasi pada tahun 2003 di Lapangan
Terbang Antarabangsa Senai, Johor yang berdekatan dengan Singapura. Laluan luar
negara pertama yang dilancarkan oleh Air Asia berjaya melonjakkan
namanya di sana. Namun jika cabaran untuk bersaing tidak disahut dengan formula
yang bersesuaian untuk berjaya, Air Asia pasti akan kecundang. Tony
Fernandes merupakan tokoh yang amat berwibawa dalam menentukan nama Air
Asia kekal berjaya di Asia dan mula menempah nama di rantau yang lain.
Secara amnya, Air Asia berjaya mencatat
kejayaan demi kejayaan kerana pihak pengurusan dibawah pimpinan Tony Fernandes
mengamalkan sistem pengurusan kos yang efektif. Dalam banyak hal, kos yang
rendah amat diutamakan. Air Asia pada awalnya memulakan operasinya
dengan kos yang rendah jika dibandingkan dengan pesaing yang terdekat MAS.
Strategi menurunkan kos permulaan perniagaan ialah dengan membeli kapal terbang
terpakai. Kapal terbang terpakai sudah semestinya berharga lebih murah daripada
kapal terbang yang baru. Ini adalah strategi awal. Setelah syarikat sudah
mencatat keuntungan dan mempunyai dana yang lebih, kapal terbang yang dibeli
pada peringkat awal ini diganti dengan kapal terbang baru secara berperingkat.
Selain kos permulaan, kos operasi dan kos harian seperti gaji kakitangan,
bayaran untuk kapal terbang mendarat dan sebagainya juga dikenal pasti sebagai
komponen kos yang perlu diuruskan pada tahap yang rendah juga.
Bagaimanakah pula Air Asia berjaya
mengurangkan kos penggajian kakitangannya termasuk juruterbang? Kos juruterbang
pada kebiasaannya merupakan salah satu komponen kos yang paling tinggi yang
perlu dibelanjakan oleh pihak syarikat penerbangan. Pihak pengurusan Air
Asia walaubagaimanapun berjaya melakukan yang sebaliknya. Terdiri daripada
kumpulan pengurusan yang sangat bijak untuk mengambil peluang, Air Asia bertindak
ketika syarikat lain mengalami tempoh perniagaan yang sukar. Banyak syarikat
penerbangan lain memecat juruterbang-juruterbang mereka akibat peristiwa 11 September
2001. Selepas kejadian tersebut, banyak syarikat penerbangan tidak dapat
menanggung kos operasi kerana ramai orang tidak berani untuk membuat perjalanan
menaiki kapal terbang kecuali segelintir sahaja atas sebab terpaksa atau
kecemasan. Banyak syarikat penerbangan yang lain terpaksa memberhentikan laluan
penerbangan yang tidak memberi keuntungan kepada mereka. Oleh sebab itu, ramai
juruterbang hilang punca pendapatan akibat dibuang atau kurang melakukan
penerbangan. Air Asia mengambil peluang ini dan menawarkan peluang
kerja kepada juruterbang-juruterbang yang telah dipecat ini untuk berkhidmat
dengan mereka. Akan tetapi Air Asia mempunyai kuasa yang lebih pada
waktu itu kerana skim atau pakej penggajian yang ditawarkan adalah jauh lebih
rendah daripada syarikat penerbangan pesaing. Juruterbang yang terdesak untuk
bekerja akan menerima tawaran Air Asia walaupun pakej penggajian tidak
begitu menarik.
Walaubagaimanapun, Air Asia akan memberi
inisiatif dalam bentuk lain kepada kakitangan mereka. Ianya berdasarkan
kecemerlangan prestasi kerja berbanding satu pakej yang sama rata. Kos juga
dikurangkan dari segi struktur penggajian kerana Air Asia mengamalkan
sistem pelbagai tugas untuk satu kakitangan. Seorang kakitangan yang
mengendalikan kaunter daftar masuk akan juga menguruskan pelanggan semasa
hendak menaiki kapal terbang. Kakitangan ini jugalah yang akan meguruskan
lain-lain urusan mengemaskini rekod dan sebagainya. Oleh itu tiada duplikasi
kerja dan tiada pembaziran tenaga kerja. Kos berkaitan kakitangan diuruskan
dengan sangat berkesan dan efektif. Pihak Air Asia akan memastikan kos
dapat dikurangkan selagi ianya tidak melanggar mana-mana syarat atau
undang-undang buruh dan sebagainya.
Kos penjualan tiket merupakan satu lagi komponen
kos yang amat dititik beratkan oleh pihak Air Asia. Di zaman teknologi
maklumat yang canggih, hampir setiap orang terlibat dengan kemajuan internet.
Masing-masing teruja dan menganggap sesiapa yang tidak arif tentang penggunaan
internet merupakan golongan yang tertinggal. Merebut peluang ini, Air Asia
mengambil langkah untuk menawarkan cara pembelian tiket penerbangan melalui
internet secara atas talian. Tindakan ini adalah untuk mengurangkan kos operasi
pengendalian kaunter tiket dan sebagainya. Dengan Air Asia, pelanggan
tidak perlu menelefon atau pergi ke kaunter tiket. Mereka boleh membuat
tempahan secara atas talian. Pelanggan juga sebenarnya tidak dibebani dengan
kos-kos seperti kos pengangkutan untuk ke kaunter tiket dan sebagainya. Oleh
sebab itu, lebih ramai yang menggemari sistem pembelian secara atas talian dan
ini menambahkan jualan dan seterusnya prestasi perniagaan Air Asia.
Mungkin ramai tidak menyedari bahawa kos untuk
menerbangkan sebuah kapal terbang dan membuat pendaratan di sesebuah lapangan
terbang adalah berbeza antara satu tempat dengan tempat yang lain. Jika
syarikat MAS menawarkan laluan penerbangan dan mendarat kapal terbangnya terus
ke Hong Kong, Air Asia pula menerbangkan kapal terbangnya ke Macau.
Kos yang dikenakan untuk penerbangan dan mendaratkan kapal terbang ke Hong Kong
dan Macau sangat berbeza. Jurang kos yang amat besar. Dengan kos penerbangan
dan mendarat kapal terbang yang rendah, Air Asia dapat menurunkan
harga tiket untuk menarik ramai orang membeli daripada Air Asia. Pelanggan
masih boleh ke Hong Kong tetapi berbelanja dengan lebih jimat.
Penjenamaan adalah juga merupakan satu komponen
yang dititik beratkan oleh Tony Fernandes untuk membawa Air Asia ke
tahap yang tinggi serta mampu bersaing dengan syarikat penerbangan gergasi yang
lain. Air Asia mengamalkan kaedah kerja yang lebih fokus untuk memberi
peluang kepada setiap orang supaya mereka mampu terbang dengan Air Asia.
Ianya bermula dengan misi menawarkan harga tiket yang amat rendah sehingga
RM1.00 untuk menarik perhatian ramai. Kaedah siapa cepat dia untung adalah
prinsip penjualan tiket yang digunakan. Jika anda membeli tiket untuk
penerbangan sebulan dari tarikh pembelian, kemungkinan besar anda akan dapat
membeli tiket pada harga yang lebih rendah berbanding jika tempoh perjalanan
yang lebih dekat dengan tarikh pembelian tiket.
Kaedah penjualan tiket yang tidak serata dari segi
harga dan sebagainya membolehkan Air Asia memastikan hampir setiap
penerbangan adalah dengan kapasiti penumpang yang penuh. Produk makanan dan
lain-lain pula disediakan kepada sesiapa yang membuat pembelian sahaja. Dengan
cara ini, Air Asia akan hanya membuat tempahan mengikut pembelian oleh
pelanggan. Tiada pembaziran berlaku! Pengurusan pembaziran yang cekap
adalah satu strategi yang bijak untuk merekodkan kejayaan Air Asia.
Dari segi penjenamaan pula, Tony Fernandes bijak
menggunakan pengalaman beliau untuk membuat pemasaran yang strategik dan
bekerjasama dengan orang kuat Virgin iaitu Sir Richard Branson. Air
Asia X dimulakan hasil kerjasama dengan Virgin. Kesinambungan
kerjasama ini dapat dilihat dengan kejayaan Air Asia menawarkan
penerbangan ke negara-negara Eropah seperti United Kingdom, Perancis
dan lain-lain. Bermula sebagai jaguh kampung dan menerbangkan pelanggan sekitar
destinasi domestik, Air Asia sekali lagi mengambil peluang untuk maju
dalam penerbangan ke destinasi di luar negara. Walaupun ia mengambil masa yang
agak lama untuk membuahkan hasil, segala usaha yang dibuat untuk penjenamaan
adalah atas berkat kesabaran Tony Fernandes.
Masalah dan rintangan merupakan asam garam dunia
perniagaan. Air Asia juga tidak terkecuali daripada mendapat kritikan
daripada banyak pihak apabila pengurusan jadual penerbangan yang selalu mengalami
kelewatan dan sebagainya. Tetapi pihak pengurusan Air Asia tidak
berdiam diri begitu sahaja. Segala kritikan dan rungutan akan dibawa ke pihak
atasan untuk rundingan dan perbincangan lanjut serta mencari jalan
penyelesaian. Penambahbaikan sentiasa diamalkan sehingga segala rungutan dan
kritikan dapat diatasi. Pada waktu ini, setelah lebih sepuluh tahun beroperasi,
Air Asia mampu berdiri tegak dan megah dengan keupayaan mereka untuk
menangani masalah tersebut.
Sabar adalah asas untuk berjaya walaupun tahap
perniagaan anda sudah berada tinggi seperti Air Asia. Tony Fernades
pernah mengeluarkan ucapan bahawa pihaknya sudah mencuba dan menunggu
berthaun-tahun untuk mendapat sesuatu laluan penerbangan. Mereka tidak berputus
asa dan akhirnya berjaya mendapatkan hak laluan yang mereka inginkan.
Begitu juga dengan hasrat Air Asia untuk membeli satu pasukan
bola sepak di United Kingdom. Mereka tidak berputus asa dan terus
mencuba. Rundingan demi rundingan dijalankan dan akhirnya pada tahun 2011, Air
Asia berjaya membeli satu pasukan bola sepak. Mengapakah langkah ini
penting? Ia merupakan salah satu strategi kearah penjenamaan serta cara untuk
syarikat penerbangan ini mengorak langkah untuk menembusi pasaran di Eropah
pula. Apabila jenama Air Asia sudah sebati dengan peminat pasukan bola
tersebut, sekali gus rakyat di United Kingdom akan mengenali Air
Asia sebagai satu jenama yang perlu dipilih. Inilah peluang keemasan yang Air
Asia nantikan!
Air Asia juga menawarkan servis sampingan
yang dirasakan perlu untuk pelanggan-pelanggannya. Air Asia sangat
prihatin terhadap permintaan atau kehendak pelanggan. Tunes Hotel disediakan
untuk mereka yang memerlukan tempat penginapan yang asas semasa mereka dalam
perjalanan. Air Asia menawarkan khidmat penginapan dengan kadar yang
rendah terutama kepada kepada sesiapa yang sudah membeli tiket penerbangan Air
Asia. Satu pakej yang menguntungkan kedua belah pihak.
“The more you give, the more you will get”
adalah pepatah yang diamalkan oleh pihak Air Asia. Banyak bantuan
kewangan yang telah dihulurkan oleh syarikat untuk mengurangkan bebanan
golongan miskin dan sebagainya. Dari segi pertolongan yang tidak mengeluarkan
wang secara terus pula, Air Asia boleh dikatakan agak aktif untuk menghulurkan
bantuan penerbangan bagi membawa pulang rakyat Malaysia di negara yang ditimpa
bencana seperti di Indonesia atau krisis perang saudara seperti di negara Teluk
dan sebagainya. Mereka percaya pulangan yang akan diperolehi daripada
keprihatinan mereka ini akan datang pada bila-bila masa dan dalam pelbagai
bentuk.
No comments:
Post a Comment