Latar Belakang
Jika sebelum ini kita telah memaparkan artikel wawancara dengan seorang tokoh usahawan Melayu Tan Sri Mokhtar Al Bukhary, tokoh usahawan Cina Tan Sri Robert Kwok, Kumpulan Mydin, kini saya ingin pula menarik perhatian anda kepada seorang tokoh usahawan yang luar biasa berketurunan India, iaitu Dato’ Tony Fernandes pengasas dan peneraju syarikat penerbangan tambang murah Air Asia.
Tony Fernandes yang kini berusia 48 tahun, dilahirkan pada 30 April 1964 kepada suatu keluarga campuran Portugis Goa(India) dan Portugis Melaka. Bapa beliau bernama Dr. Stephen Edward Fernandes dan Ibu beliau, Ena Dorothy Fernandez.
Semasa kecil beliau kerap kali mengikuti ibunya, seorang peniaga kecil kecilan, ke majlis majlis para peniaga tupperware. Dalam usia 13 tahun beliau melanjutkan persekolahan di England pada tahun 1977 dan seterusnya lulus di London School of Economics pada tahun 1987.
Beliau mulai alam perkerjaan di Virgin Atlantic sebagai auditor, kemudian sebagai kontroller kewangan di sebuah syarikat dimilik oleh Richard Branson, iaitu Virgin Record sehingga 1989.
Sekembalinya ke Malaysia beliau dilantik sebagai pengarah urusan Warner Music (Malaysia) Sdn Bhd. Sewaktu bertugas di syarikat ini beliau berjaya mencetus suatu ‘revolusi’ dalam muzik etnik, nasyid dan dangdut kedalam arus perdana muzik tanah air. Beliau berkhidmat dalam kumpulan ini dari 1992 sehingga 2001, akhir sekali memegang jawatan vice presiden kumpulan bagi kawasan Asia Tenggara.
Air Asia
Apa yang amat menarik tentang biografi Dato’ Tony ialah penglibatan beliau sebagai penggerak utama dalam penubuhan dan operasi Air Asia, syarikat penerbangan tambang murah yang paling berjaya di Asia. Bermula dengan dua buah kapal terbang Boeing 737 yang usang tatkala masih dimiliki kerajaan, kini kumpulan Air Asia yang diterajui Tony Fernandes sejak tahun 2001 telah maju dari setapak ke setapak sehingga kini memiliki 62 buah kapal terbang dalam perkhidmatan dan 277 buah lagi dalam pesanan. Setelah kesemua kapal terbang ini beroperasi nanti, ini mungkin menjadikan kumpulan penerbangan Air Asia sebagai kumpulan penerbangan tambang murah yang tebesar di dunia.
Kini kumpulan Air Asia berkhidmat melalui 142 laluan dan 78 destinasi dengan sejumlah 400 penerbangan sehari di Asia, dan juga ke Australia dan Eropah. Dalam tahun 2011, Air Asia telah menerbangkan sejumlah 30 juta penumpang dari pelbagai negara.
No comments:
Post a Comment